Healing Day Trip Di Pulau Kapas, Marang Terengganu

Solo Trip Pulau Kapas, Terengganu  

Solo Trip Pulau Kapas, Terengganu 


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Semoga semua rakan pembaca sihat dan ceria selalu. Terasa agak lama husniey tak berkongsi penulisan di sini. Tak sangka pejam celik setahun berlalu, dalam masa setahun sejak Januari 2022 banyak sangat ujian hidup yang husniey hadapi. Pernah husniey share di blog tentang kehilangan baby yang dikandung 5 bulan. Berkat doa orang tua, Alhamdulilah mampu bangkit dan bina hidup yang lebih baik. Bila dah kembali berstatus bujang, Allah bagi nikmat merasa kembali sebumbung bersama keluarga dekat dengan mak ayah. Cuba sibukkan diri dengan bekerja, siang malam bekerja keras bagi memastikan hidup tak menyusahkan sesiapa. 


Bila tiba hari cuti, husniey akan memilih keluar berjalan, jogging atau pun ambil angin di pantai berdekatan tengok matahari terbit. Memang healing betul ya. Sengaja sibukkan diri , tak mahu termenung mudah menangis. Pada hari itu husniey dah bercadang untuk pergi pulau tapi tiada member yang boleh menemani, jadinya buat keputusan untuk tetap meneruskan perjalanan tu walaupun seorang diri. Lagipun husniey dah terbiasa selok belok jalan di Terengganu. 


Memandu dari Kemaman ke Marang mengambil masa hampir 2 jam. Tiba di jeti terus cari parking dan ke kaunter bot untuk urusan pembelian tiket bot. Untuk makluman anda, tiket bot pergi dan balik hanya RM 40 seorang dewasa. Nanti boleh tanya pihak pengurusan bot tu jadual balik pukul berapa ye. Kadang dekat tiket tu ada notis dah, so korang cuma tunggu di kawasan pickup point ketika di Pulau Kapas.


Ramai pelancong dari luar Terengganu tidak tahu, fakta tentang pantai di Terengganu. Terengganu sangat popular dengan keindahan pantainya, kedudukan negeri Terengganu yang menghadap Laut China Selatan membuatkan suasana negeri ini unik dan banyak sangat pantai yang anda boleh berkunjung singgah. Namun diingatkan, kebanyakan pantai di Terengganu tidak sesuai untuk aktiviti mandi manda. Kalau tak pandai berenang jangan cuba-cuba. Lebih lagi pada musim tengkujuh, keadaan laut yang bergelora dan permukaan pantai kebanyakannya tak landai (kesan akibat hakisan tanah pada musim monsun timur laut (musim tengkujuh). 


Jom sambung kisah husniey ke Pulau Kapas. Keputusan untuk berjalan di Pulau Kapas diambil agak last minute ya. Jangan risau tiket bot sentiasa ada. Tak perlu buat tempahan awal. Cuma kalau ingin bermalam di resort atau chalet di Pulau Kapas dinasihatkan untuk buat tempahan awal. Resort di pulau kapas agak terhad, dan pulau ini tidaklah besar mana, jadi bila musim cuti sekolah agak ramai pengunjung bercuti di sini. Dari jeti Marang menaiki bot ke Pulau Kapas mengambil masa 15 minit sahaja. Dekat saja awak, tak sempat mabuk. Sesuai bawa orang tua, kanak-kanak. Tak sempat nak bosan kat atas bot.




Setibanya Husniey di Pulau Kapas, mencari port untuk bergambar, agak puas hati dah shoot gambar view dan record video dekat sana barulah Husniey mandi laut. Malas nak sewa snorkeling set tu, sebab memang bermain di tepi pantai aje. Cemburu tengok pasangan yang pergi kayak, kanak-kanak bermain pasir. Kita masa ni team single, memang nak healing aje. Sudahnya husniey bermain dengan ikan jelah, hahaa. Bagi makan roti secubit dua. 


Terus ramai ikan datang berkerumun dekat. Rasa nak sauk je ikan tu. Kalau korang pandai berenang dan memang suka tengok kecantikan coral, bolehlah pergi ikut trip ambik sekali pakej snorkeling. Masa tulah peluang nak tengok ikan cantik, contohnya ikan nemo tu. Popular ikan tu.



Dah siap bawa bekal sebelum masuk pulau, so boleh je duduk kat gazebo disediakan. Rasanya kalau gazebo dekat resort tu kena tanya dulu ya takut kena bayar. Heee. Tapi husniey duduk je sebab memang beli makanan, minuman serta naik bot di situ. Terdapat beberapa gerai yang menjua makanan ringan. Bolehlah buat alas perut, sedia maklum dekat pulau makanan semua mahal yer. Lebih baik bawa bekal nasi siap dari rumah. Bagi yang minat hiking, boleh pergi dalam group dengan kawan-kawan. Permandangan di Bukit Singa sangatlah cantik. Laluan trek agak bahaya, kena lalu atas batu, masuk air sikit. Kalau air pasang agak bahaya. Husniey belum pernah hiking Bukit Singa tu, even teringin juga nak tengok view indah disitu. 




Bila dah bosan berjemur di pulau, maka perlahan naik ke darat dan buat persiapan untuk pulang ke tanah besar. Alhamdulilah feeling better, healing betul dapat main air. Warna laut yang jernih berkaca, kagum dengan ciptaan Allah. Walaupun cuaca panas, air di laut tak terkesan ye dengan cuaca panas. Seronok mandi manda tak sedar kulit sunburn ~hehe. Sebelum terlupa, korang boleh nak tukar pakaian di resort, disediakan tandas berbayar ye. Pernah terbaca review macam tak selesa, jadi husniey ambil keputusan keringkan baju sekejap selebihnya membersihkan diri setibanya di jeti, husniey singgah mandi serta solat di Masjid Marang. Kos hangus tak sampai RM 100 :d


Alhamdulillah syukur. Pulau Kapas ni memang wajib datang, walau saiznya kecil. Port paling best untuk pergi bercuti santai dan lebih murah kos tambang bot berbanding pulau lain di Terengganu. Korang jangan datang bercuti ke pulau bulan November - Januari pulak, masa tu musim tengkujuh ye. Pulau akan tutup operasi pada musim tengkujuh. 


Itu sahaja perkongsian pada kali ini. Terima kasih sudi membaca. 


Love,

Husniey

You Might Also Like

2 comments

Komen yang membina sangat dihargai. Terima kasih bagi yang meninggalkan komen dan membaca penulisan blog ini.