Destinasi Hari Kedua; Deerland Park & Kuala Gandah National Elephant Conservation Centre

Deerland Park, Lanchang Lokasi Wajib Singgah Untuk Pencinta Haiwan ~ Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Lawatan diteruskan ke lokasi seter...


Deerland Park, Lanchang Lokasi Wajib Singgah Untuk Pencinta Haiwan ~

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Lawatan diteruskan ke lokasi seterusnya iaitu melawat Deerland Park yang terletak di Lanchang. Kawasan Deerland Park ini keluasan tanah, 10 ekar tanah manakala keluasan tanah untuk kandang rusa sahaja 7 ekar. Terdapat lebih 100 ekor rusa disini. Deerland Park ini mula beroperasi tahun 1996 hak milik persendirian. Sempat bercakap dengan pengusahanya, Abdullah Ahmad berumur 70 an. 



Pak Lah pengusaha Deerland Park. Suasana tenang dengan kehijauan ~

Pada awalnya tempat ini hanya menempatkan haiwan rusa, tujuan mengusahakan tempat ni adalah kerana pengusahanya yang dikenali sebagai Pak Lah memang berminat sejak kecil dengan hutan dan haiwan. Pak Lah juga mengambil peluang ini untuk menjaga haiwan liar yang semakin banyak pupus.

- Bergambar di luar pagar Deerland Park -

Kata Pak Lah beliau suka mengekalkan keadaan alam semulajadi tanpa melakukan perubahan pembinaan ketara terhadap tempat ini. Sengaja beliau kekalkan hutan bagi memastikan haiwan di sini hidup selesa seperti habitat asal mereka. Tambahan pula kehijauan alam semulajadi ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin bukan sahaja baik untuk haiwan, malah ia untuk kehidupan manusia. Deerland Park ini sangat sesuai untuk bawa kanak-kanak beriadah dan mengenali haiwan. Anda juga boleh menyentuh dan melihat dalam jarak dekat ye. Petting zoo gitu!


Eyqa Hasnan dan suaminya ~



Selain rusa turut terdapat jenis haiwan lain yang pengunjung boleh lihat iaitu beberapa spesis ular, seperti sawa batik, sawa albino, arnab, beberapa spesis tupai, burung merak dan banyak lagilah. Harga tiket masuk ke Deerland Park ini juga sangat berpatutan, hanya RM 7 bagi dewasa dan cuma dikenakan cas RM 4 sahaja bagi kanak-kanak. Murah sangat. Puas hati dapat tengok banyak jenis haiwan!



Dengan harga tiket masuk itu pengunjung juga boleh memberi makan kepada rusa, memberi makan lobak merah tidak dikenakan cas. Kalau dekat tempat lain harga makanan mesti berasingan kan. Seronok sangat bila dapat bergambar dengan haiwan-haiwan di sini. Kata Pak Lah lagi pernah beberapa pengunjung yang suka datang ke sini berbanding ke zoo gah yang lain. Di sini bayaran lebih murah namun pengunjung rasa puas hati!


Waktu Urusniaga: 
10.30 pagi - 4.00 petang (Isnin-Khamis)
10.30 pagi - 5.00 petang (Sabtu Ahad & public holiday)
Tutup: Hari Jumaat
Lokasi: Deerland Park Lanchang Pahang
https://maps.app.goo.gl/kWXxZtjAsjgr5ygY8



Lawatan Ke Kuala Gandah National Elephant Conservation Centre

Perjalanan ke Kuala Gandah, Lanchang Pahang dari Kuala Lumpur menggunakan kenderaan sendiri mengambil masa kira-kira 2 jam pemanduan melalui Lebuh Raya Pantai Timur dan akan keluar melalui persimpangan Lanchang. Kami bergerak dari Temerloh lebih kurang 50 km perjalanan dari homestay. 


Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan ini diuruskan oleh Jabatan PERHILITAN, merupakan pusat konservasi gajah terbesar di Malaysia. Di pintu masuk utama pengunjung boleh melihat maklumat dan info menarik tentang gajah. Turut terdapat fosil yang dipamerkan. Kita dapat membaca info sambil melihat pameran rangka tulang gajah di ruangan legar. Suasana landskap di tempat ini cantik, boleh jadikan port bergambar. 




Menariknya pengunjung berpeluang melihat aktiviti gajah mandi di sungai dan pertunjukan gajah (ni jangan bayangkan macam dekat sarkas tu pulak ye). Pukul 10 pagi hingga 4.30 pm adalah aktiviti memerhati gajah. Manakala pada pukul 2 petang pula aktiviti memberi makan, menunggang dan mandi bersama gajah. Semua aktiviti ini boleh berubah, mandi sungai juga bergantung kepada paras air sungai. Boleh rujuk di website wildlife.gov.my





Sedikit info tentang gajah, gajah menggunakan belalai untuk menzahirkan perasaan, ibu gajah mengusap anaknya menggunakan belalai, gajah juga sering melilit belalainya antara satu sama lain, itu sama seperti cara manusia berjabat tangan. Hebat bukan? Cara gajah menunjukkan kesedihan dengan cara menurunkan belalai ke bawah, mata kuyu dan telinga terkulai. Haiwan ini penuh emosi dan sensitif walau dari zahirnya nampak kasar.



Di sini pengunjung boleh melihat gajah dalam jarak dekat, jangan melepaskan peluang untuk memberi makan tebu kepada gajah, tebu seikat berharga RM 3 sahaja. Comel sangat bila dapat tengok gelagat gajah makan. Seronok tengok gelagat gajah-gajah dewasa dekat sini, ada yang berusia 40 tahun sudah ye, semua comel sangat siap berjoget-joget bila melihat ramai pengunjung datang. 



Bagi anda yang berminat untuk melakukan aktiviti di atas bolehlah merancang sebaik mungkin ye, sebab ada waktu pertunjukan so bila terlepas agak rugilah. Mencari penginapan di sekitar Temerloh? Nah, baca entri yang lepas tentang Penginapan terbaik KampungStay Desa Murni.


Waktu lawatan: Isnin - Ahad (10.30 am - 4.15 pm)
Alamat: Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah
Kuala Gandah, 28500 Lanchang Pahang Darul Makmur



.
.
#temerlohunlimited
#kampungstay
#homestaydesamurni
#exploretemerloh2022
#exploretemerloh

You Might Also Like

1 comments

Komen yang membina sangat dihargai. Terima kasih bagi yang meninggalkan komen dan membaca penulisan blog ini.